22 Jul – Setelah lima tahun memegang status ibu tunggal, pelakon Abby Abadi tampil membuat pengakuan dia sudah bernikah di Thailand bersama jejaka yang dikenali sebagai Muhammad Noor Farhan Che Bakar pada 9 Julai lalu.
Berita mengenai perkahwinan Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 36, dengan Farhan, 24, menjadi buah mulut orang ramai setelah Abby memuat naik gambarnya bersama Farhan menerusi Instagram Jumaat lalu.
Dalam gambar tersebut, Abby mengatakan sudah 12 hari bergelar isteri kepada lelaki yang 12 tahun lebih muda daripadanya.
"Ya, saya bernikah di Thailand. Tak ada masalah pun dalam undang-undang Islam bernikah di negara jiran, tetapi saya mempermudahkan yang payah. Cuma saya perlu selesaikan beberapa isu yang berbangkit," jelas bekas anggota kumpulan Elite itu.
Abby bagaimanapun enggan mengulas mengenai lokasi perkahwinan kerana khuatir perkara ini akan mencetuskan masalah dalam rumah tangganya. Pelakon ini juga tahu pasti ada respon positif mahupun negatif mengenai perkahwinannya namun dia tetap menyifatkan perkara ini adalah jodoh yang sudah ditentukan.
Mengulas mengenai perkenalan mereka, Abby mengatakan pertemuannya dengan Farhan yang berasal dari Kok Pasir, Tumpat Kelantan itu bermula apabila mereka bertemu di pasar raya dan mengambil keputusan untuk berkahwin selepas dua minggu berkenalan.
Abby juga mengatakan bahawa kedua-dua keluarga mereka merestui perkahwinan ini walaupun pada mulanya terkejut. Abby juga bakal berjumpa dengan keluarga suaminya selepas berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut, Terengganu dan merancang untuk mengadakan majlis persandingan di rumahnya di Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini manakala majlis di Tumpat pula akan berlangsung pada 6 September.
Sebelum ini, Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8 dan Maria Danisha Hakim, 5 sebelum bercerai pada 18 September 2008.
Selepas itu, Abby pernah bercinta dengan aktor kacak Zul Ariffin selama beberapa tahun sebelum putus pada 2011.
12 thn lebih muda..bena la pepatah owg, CINTA x knl usia..huhu..
ReplyDelete